Sejarah pendidikan Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Nasrul Ali Hasan telah mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Kuda, Klang. Setelah tamat darjah enam, beliau telah menyambung peringkat pendidikan menengah di SMK Kampong Jawa, Klang, Selangor bagi Tingkatan 1 dan 2 sahaja. Pada usia 15 tahun beliau kemudiannya telah dimasukkan ke sekolah asrama harian di SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Sabak Bernam, Selangor dan telah menamatkan pelajaran sehingga Tingkatan Lima di sana. Beliau merupakan pelajar yang sangat aktif dalam aktiviti kepimpinan dan kebudayaan sejak dibangku sekolah serta pernah menerima Anugerah Tokoh Karisma pada tahun akhir. Antara aktiviti kokurikulum dan berpersatuan seperti Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia, Persatuan Dikir Barat, Pembimbing Rakan Sebaya, Kelab Sains dan Matematik, Kelab Pencak Silat dan banyak lagi. Beliau juga telah mewakili sekolah dalam banyak acara bukan sahaja di peringkat daerah dan negeri, malah pernah mewakili negeri Selangor di peringkat kebangsaan dalam pertandingan Pencak Silat Sekolah-Sekolah dua tahun berturut-turut.

Seterusnya, dengan keputusan yang cemerlang, Nasrul Ali Hasan telah menyambung pelajaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Arau, Perlis pada tahun 2009 dalam bidang Diploma Sains Kuantitatif. Beliau masih bergiat aktif dalam aktiviti kepimpinan dan berpersatuan sepanjang menyambung pengajian di sana. Pada tanggal 23 November 2011, buat pertama kalinya Nasrul telah menjadi wakil delegasi Malaysia ke program Indonesia, Malaysia, Thailand – Growth Triangle (IMT-GT) di Universitas Negeri Medan (UniMed), Indonesia.

Setelah menamatkan peringkat diploma, Nasrul Ali Hasan telah menyambung pengajiannya di UiTM Shah Alam pada tahun 2012 dan menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Aktuari pada tahun 2016. Sepanjang pengajian di Shah Alam beliau telah bergiat sangat aktif dalam bidang kepimpinan dan politik. Beliau telah dipilih menjadi Timbalan Presiden Institut Pemimpin Muda (IPM) UiTM Malaysia yang kedua bagi sesi 2013-2014. Setahun kemudian beliau telah diangkat untuk menjadi Presiden IPM Uitm bagi sesi 2014-2015. Dengan kesungguhan, komitmen dan sifat kepimpinan yang dipamerkan, Nasrul Ali Hasan telah dipilih oleh Pusat Kegiatan Pelajar (PKP) UiTM untuk menyertai delegasi Malaysia bagi program di peringkat antarabangsa iaitu Asian University Student Symposium, University Scholars Leadership Symposium dan menjadi koordinator bagi Nusantara Leadership Camp (Malaysia-Indonesia-Thailand-Brunei-Singapura).

Ketika di Shah Alam, beliau telah terlibat banyak dengan aktiviti kepimpinan dan politik kepartian. Beliau bersama Mahasiswa Bersatu iaitu gabungan pemimpin mahasiswa dari universiti awam khususnya Lembah Klang yang Pro aspirasi kerajaan pada ketika itu. Menjelang Pilihanraya Umum ke-13, beliau telah bergiat aktif dalam politik atas platform Siswa4U di bawah Biro IPT UMNO. Beliau juga terlibat secara langsung dalam politik kampus.

Berteraskan prinsip hidup ‘Kebijaksanaan Dalam Perjuangan’, beliau mengorak langkah menceburi bidang keusahawanan sosial menerusi satu projek iaitu Majlis Amal 1 Ringgit (MA1R) dan kemudian diberi penjenamaan semula dan dikenali sebagai projek #SinggitJe dengan tema ‘Mampu Mengubah’. Kejayaan ini telah mendorong Nasrul untuk menubuhkan Pertubuhan Aktiviti Keusahawanan Sosial Malaysia (PAKSI) di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada tahun 2014, sehingga melayakkan beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Pemimpin Kelab/Persatuan Terbaik UiTM Malaysia 2014, Tokoh Kepimpinan UiTM Malaysia 2014, dan Anugerah Tokoh Siswa Ketegori Pemimpin Kelab/Persatuan Terbaik 2014 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. Setahun Kemudia beliau telah dianugerahkan Anugerah Nadi Negara 2015 oleh Biro Pengajian Tinggi Wanita UMNO Malaysia.

Seterusnya, Nasrul Ali Hasan telah menyambung pengajian ke peringkat seterusnya dalam bidang Ijazah Sarjana Sains Kuantitatif di Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Shah Alam. Beliau telah menerima Ijazah Sarjananya pada 20 Oktober 2018. Sepanjang tempoh tersebut beliau tetap aktif berpersatuan dan telah dipilih menjadi Presiden bagi Persatuan Pascasiswazah Sains Statistik dan Sains Pemutusan (PPSSP) UiTM Shah Alam.

Kini beliau sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Sains Sosial dan Tingkah Laku dan dijangka tamat pengajian sekitar tahun 2025.